................................................................................................................................................................................
    __________________________________________________________________________________
    __________________________________________________________________________________

09 May 2010

Remaja cedera ditembak

Oleh MUHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Photobucket

TAMPIN 8 Mei – Tidak sampai dua minggu negara digemparkan dengan kematian Aminulrasyid Amzah dari Shah Alam akibat ditembak polis, kini seorang lagi remaja ditembak anggota peronda pasukan keselamatan itu di Jalan Seremban-Jelebu dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi, Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak setelah enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan berbuat demikian oleh dua anggota polis yang berada dalam kereta peronda.

Berikutan itu, salah seorang anggota polis berkenaan bertindak melepaskan satu das tembakan dan mengenai bahagian perut remaja itu sehingga tembus ke bahagian usus.

Mohd. Azizi dikatakan sempat melarikan diri sejauh 1 kilometer dari tempat kejadian sebelum ditahan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Berikutan kejadian itu, anggota polis berpangkat konstabel yang bertanggungjawab melepaskan tembakan terhadap remaja itu dikenakan tindakan gantung kerja serta-merta.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, anggota terbabit dikenakan tindakan itu kerana melepaskan tembakan tanpa justifikasi yang boleh membawa ancaman kepada dirinya.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai satu kesalahan menggunakan kuasa dan pihak kami amat memandang serius terhadap kesalahan ini.

“Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi seperti yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian lapang sasar polis bantuan Felda di Bukit Rokan, Gemencheh di sini hari ini.

Menurut Osman, Mohd. Azizi kini telah menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil di HTJ.
“Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga remaja terbabit di atas insiden yang telah menimpanya.
“Polis memberi jaminan pihak kami akan menyiasat dengan lebih terperinci berhubung kes ini,” katanya.
Pada 26 April lalu, Aminulrasyid, 15, mati ditembak anggota polis selepas remaja itu enggan memberhentikan kenderaannya ketika dikejar di Seksyen 11, Shah Alam.

Sementara itu di HTJ, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, beliau memandang serius terhadap kejadian itu dan akan mengambil tindakan ke atas anggota terbabit mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita akan mengambil tindakan ke atas anggota polis terbabit selepas semua laporan siap. Ketika ini, anggota polis terbabit digantung tugas dan pihak kementerian melahirkan rasa simpati ke atas keluarga remaja berkenaan,” katanya.

Abu Seman berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu setiap anggota polis melihat dan merujuk semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjalankan tugas di mana sebelum memulakan tugas mesti ada pesanan atau arahan oleh ketua masing-masing.

“Setiap anggota polis perlu mendengar arahan ketua mereka terhadap tugasan yang diberikan dan mematuhi SOP kerja,” ujarnya.

Dalam pada itu, bapa remaja itu, Aziz Omar, 42, mendakwa, anaknya telah dipukul polis sebelum ditembak.
Aziz berkata, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Rahang pukul 12 tengah hari ini dan akan melantik seorang peguam untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kes tembak itu. Utusan.

butii: gian nak menembak la tu.. agaknya kalau laksana qisas baru orang pikir 18x sebelum nak tembak..

06 May 2010

Kerajaan Timbang Beri Lesen Pertaruhan Untuk Piala Dunia

Photobucket

KUALA LUMP UR, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

"Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Khamis.

Awang Adek berkata jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Awang Adek mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

"Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

"Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah," katanya.

-- BERNAMA


butii: corodek terlajak ni.. ada pulak judi haram dan judi halal...

Haram tetap HARAM!

Terima Kasih Atas Kunjungan Anda.